Bursa Malaysia Digesa Untuk Menggantung Operasi?

Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) hari ini menggesa kerajaan supaya segera menggantung urus niaga di Bursa Malaysia.

Pengerusi ASCM, Datuk Dr Azman Manaf berkata Bursa Malaysia harus digantung pada masa ini sebagai langkah mempertahankan diri untuk melindungi pasaran saham daripada terjejas teruk sehingga perlu mengambil masa yang lama untuk pulih.

Azman menjelaskan bahawa gesaan untuk menggantung aktiviti perdagangan di Bursa Malaysia adalah selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penutupan FBM KLCI pada 1,239.01 mata pada hari Rabu menunjukkan ia telah menarik balik lebih daripada 28% keuntungan dari akhir Disember 2019, apabila ia direkodkan pada 1,588.76 mata.

Dalam pada itu, Azman juga menyatakan bahawa pasaran saham Malaysia telah mengalami penurunan modal sebanyak 23% daripada RM1.04 trilion pada 31 Dis, 2019 kepada RM804.63 bilion pada 18 Mac, 2020.

Filipina telah menggantung bursa sahamnya pada hari Selasa, menjadikannya sebagai negara pertama untuk menggantung perdagangan sahamnya sebagai tindak balas kepada wabak pandemik coronavirus yang semakin meluas.

Perintah penggantungan di Filipina dibuat selepas pasaran ekuiti dan harga minyak global jatuh dengan ketara selepas langkah rangsangan baru oleh bank pusat gagal meredakan kebimbangan pelabur.

Bagi membalas permintaan ASCM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia memaklumkan bahawa dagangan saham akan diteruskan untuk memudahkan pelabur menguruskan risiko mereka dalam tempoh ini.

FBM KLCI ditutup rendah dengan menyusut sebanyak 19.29 mata atau 1.56% pada 1,219.72 hari ini dengan 4.17 bilion saham bernilai RM2.87 bilion diniagakan di bursa tempatan.

Source

Leave a Reply

Pin It on Pinterest

Share This
× Hi, boleh saya bantu?